Kebelakangan ini, minat aku begitu mendalam terhadap satu ulama cinta. Ulama yang banyak mencoretkan buku-buku novel cinta. Buku-bukunya aku teliti kerana kehalusan bahasa dan rasa ingin tahu aku tentang perspektif cinta daripada seorang ilmuan yang bagus amalannya, hebat pencapaiannya. Barangkali, ada sudut pandang yang perlu aku betulkan dalam melihat cinta itu sendiri.
Tapi bukan cinta yang aku mahu ceritakan hari ini. Tapi pujukan lembut supaya kita tak mudah berlemah hati. Supaya kalau hilang semangatnya, ternyala semula.
Ada satu ayat yang begitu menarik perhatian aku, dalam buku Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick dan juga turut diselitkan di dalam filemnya. Kata itu merupakan pujukan Muluk, seorang 'parewa' yang suka berjudi kepada Zainuddin, si watak utama yang sedang remuk semangatnya lantaran putus cinta.
Katanya,
"Begini banyak ilmu yang Guru tuntut, begitu tinggi budi dan kesopanan Guru; akal panjang, fikiran luas, permandangan jangan disebut. Tiba-tiba di hadapan keadaan yang begini, Guru bersemangat lemah. Lebih lemah daripada kami yang tak kenal membaca bismillah"
'Lebih lemah daripada kami yang tak kenal membaca bismillah'. Ayat ini yang begitu hebat penangannya aku rasakan kerana aku sendiri, tetap juga ada hari merasakan lemah dan berkeluh kesah. Merasakan putus asa dan tak mahu bangun lagi dari kamar tidurku.
Maka hari ini aku mahu coretkan. Kata-kata untuk pedoman di masa depan. Kata-kata yang akan mengetuk aku dan harapnya kamu-kamu untuk terus berjalan meski bertimpa ujian. Kerana kelak, pasti, kita akan merasakan kematian, pasti merasakan kehilangan, pasti merasa ditinggalkan, bahkan mungkin seperti juga Zainuddin, merasa kecewa dan berkecai hati lantaran cinta yang disandarkan pada manusia.
Mahu aku tanyakan satu soalan kepada kalian, apa kita tak malu pada mereka yang tak kenal Tuhan? Nick Vujicic misalnya. Dia tak beruntung sepertinya kita yang sempurna anggota, tapi tetap, dia tak lemah jiwa. Dia teruskan hidup dengan tak mempunyai tangan mahupun kaki! Begitu bersemangat menjalani kehidupan. Walau hanya ada sekujur badan, dia boleh berenang. Malah, kini sudah berkahwin dan punya anak. Selain dari dia, suka aku ceritakan mengenai Stephen Hawking. Ilmuan sains yang keupayaan dia berjalan dan bercakap sempurna direnggut pada usia muda. Rupanya yang kacak juga turut menjadi korban penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis(ALS) tapi masih dia bersungguh menempuh hidup menggali telaga ilmu. Dikerahkan sepenuh tenaga untuk merungkai misteri sains satu per satu. Tak pula dia hanya berbaring dan putus asa untuk hidup. Sedangkan kita? Baru sikit yang menimpa dah berbaldi keluhnya. Banyak lagi manusia yang tak punya asas agama dan tak pula percaya kewujudan yang Maha Esa tapi semangatnya kuat lebih daripada kita yang meyakini rukun Iman dan rukun Islam.
Terus, kenapa kita lebih lemah daripada mereka?
Bangunlah sayang, tak usah kau rungutkan perkara yang tak membawa hitung kepada hidup sebenarmu di akhirat kelak. Setiap ujian yang datang itu adalah tanda mata daripada Tuhan yang Maha Kaya dengan cinta. Dia mahu supaya terlonjak martabatmu, supaya dengan itu, kau akan mampu untuk pergi lebih jauh lagi. Dia mahu beri kau sesuatu, barangkali rumah banglo di Syurga Firdaus kelak.
Sayang, kuatlah. Dan yakinlah dengan sepenuh hatimu bahawa setiap ujian yang didatangkan itu, pasti tak akan sia-sia. Ingatlah selalu yang Tuhan itu begitu dekat denganmu. Tidak diberikan satu pun ujian hatta terkena duri sekalipun kalau bukan untuk menggugurkan dosa-dosamu.
Seperti kata Rasulullah S.A.W kepada sahabatnya Abu Bakar. Rasulullah yang tahunya tentang Tuhan itu lebih dalam daripada kita yang marhaen. Rasulullah yang lebih arif tentang rahsia-rahsia alam ghaib. Rasulullah yang tak pernah sekalipun berbohong semenjak dari sebelum dia menjadi Rasul pun. Ingatlah katanya,
"La tahzan. Innallaha ma'ana"
Bersemangatlah anak muda. Hidupmu masih panjang jika diizin Tuhan. Ini bukan masanya untuk bermalas-malasan dan bercinta-cintaan. Jangan lemahkan hati dengan perkara yang bukan-bukan. Silap langkah itu pasti ada, tapi tanggungjawab kita untuk perbetul semula. Kembalilah meski berapa banyak kali pun kau tersungkur. Biarpun baru sesaat lalu kau lupakan Dia yang Maha Melihat segalanya, Allah masih sudi menerima. Percayalah dan jangan pernah lupa.
Sekian, moga bermanfaat.
*parewa: di minangkabau memang ada satu golongan orang muda-muda yang bergelar 'Perewa'. Mereka tidak mahu mengganggu kehidupan kaum keluarga. Hidup mereka ialah dari berjudi, menyabung ayam dan lain-lain. mereka juga pandai dalam pencak silat. pergaulan mereka sangat luas di antara perewa di kampung anu dengan kampung yang lain harga menghargai dan besar membesarkan. tetapi mereka sangat kuat mempertahan kehormatan nama suku dan kampung. kalau mereka bersahabat, sampai mati mereka akan mempertahankan sahabatnya, saudara sahabatnya jadi saudaranya, seakan-akan seibu, sesaudara, sekemenakan. kata-kata 'Muda' terhadap perempuan tidak boleh sekali-kali. Kalau ada yang kalah dalam permainan sehingga habis harta bendanya, maka oleh yang menang dia diberi pakaian dan wang sekadarnya, disuruh pulang dengan wang tanggungan yang menang itu sendiri. kepada orang-orang alim mereka hormat, dan kadang-kadang mereka itu dermawan. mereka setia dan sudi menolong. satu penghidupan yang serupa dalam 'dongeng' yang sampai sekarang masih didapati di Minangkabau.
No comments:
Post a Comment