Siapa suka kucing mohon angkat tangan!
Aku kira, kalau yang angkat tangan tu mungkin akan lebih mudah untuk faham apa yang aku akan tulis dalam entri kali ni. Di sini sebenarnya aku nak 'highlight' bagaimana menjaga anak kucing itu mendidik kau untuk menjaga anak kecil. Walaupun makamnya lebih rendah, penjagaannya lebih mudah, tapi aku yakin, 'tarbiyyah' yang datang daripada menjaga anak kucing ni serba sedikit mengajar kau untuk menjaga dan bersabar dengan anak kecil.
Anak kucing. Sungguh, nakal mereka sangat menguji kesabaran. Kalau ikutkan perkiraan aku, andai kau tak mampu tahan dengan anak kucing, anak sendiri apatah lagi. Sedangkan anak kucing itu rengeknya sekejap, tak lama seperti anak manusia. Pandai pula menjaga diri, tak perlu dijenguk-jenguk selalu. Walau najisnya kadang merata, anak kucing biasanya tahu untuk bersihkan diri. Anak manusia? Kita jugalah yang harus membasuh serba serbi.
Eloklah aku cerita sikit berkenaan telatah anak kucing. Sebagai tuan kepada 2 ekor anak kucing yang ada masanya manja dan ada masanya nakal, aku kira, aku bertauliah untuk cerita tentang cara mereka 'menguji' kita.
Satu, waktu solat. Allah...kalau datang hari nakalnya lebih, dipanjat-panjat badan kita dengan kuku yang mencengkam sakit. Ikutkan hati, mahu saja dibaling keluar. Tapi waktu solat pergerakan terbatas, lagi pula, hati masih kasihan walaupun sakit dan marah. Sama jugak seperti anak. Bilamasa kita hendak solatlah dia akan menangis dan menarik-narik telekung kita hingga hampir nak tercabut. Boleh jadi juga dia main dan berlari-lari di hadapan kita sewaktu sedang menghadap sejadah. Kalau kau tak sabar dan ikutkan hati, pasti akan kau hukum dia yang tak tahu apa. Seperti juga kucing yang kau fikir untuk baling keluar tingkap. Pasti, yang sudah pernah dicengkam belakang badannya dek anak kucing, akan teringat bahawa anak kecil itu sememangnya tak berakal. Tak tahu antara yang betul dengan yang salah.
Dua, busuk najisnya kalau kau simpan dalam rumah. Andai kucing itu kau simpan di dalam, takkan tak disediakan tempat untuk dia melepaskan hajat? Iya, siangnya memang di luar tapi waktu malam? Kesian pada anak kucing itu kalau harus ditahan-tahan pundi kencingnya sehingga kau bangun esok pagi. Lagi parah, kalau dia lepaskan saja di tepi langsir atau almari. Itu pun perlukan sabar juga. Bekas najisnya bersama pasir wajib disediakan, dan wajib pula kau bersihkan. (kakak aku yang buat semua tu di rumah. hehe) Rutin ini, termasuk dengan pengorbanan wang membeli pasir untuknya tiap bulan, yang aku tahu menguji jiwa manusia yang sifatnya lemah dan berkeluh-kesah. Sama juga seperti anak kecil. Kau ingat lampin bayi itu murah? Bukan sahaja terhenti di situ, kau perlu pula bersihkan najisnya tak kira masa dan dengan kadar segera. Sebab kalau dibiarkan, kasihan anak kecil itu, berlumur punggungnya dengan najis dan akan disusuli pula dengan ruam yang gatal dan sakit. Kalau sudah biasa kau bersihkan bekas najis kucing, insyaAllah, najis manusia kau boleh tahan dan rutin pembersihannya kau boleh hadam.
Tiga, main dengan anak kucing. Kita manusia pemalas, suka untuk berpelukan saja dengan anak kucing. Duduk diam dan belai-belai sampai tertidur. Betul, ada masanya anak kucing sudi untuk teman kita tidur dan duduk diam. Tapi kebanyakan masa, dia mahu berlari-lari bermain dan berkejaran. Sebagai tuan yang mithali, seharusnya kau luangkan masa untuk berkejar-kejar dengan anak kucingmu. Sama juga dengan anak kecil, kau tak betah hanya berpelukan dengan dia dalam tidurnya. Kalau sudah 'mendapat kaki', mesti kau harus selalu bermain-main dan melayan kerenahnya untuk berkejar-kejaran. Kalau diberi teman, kucing boleh main sendiri, tapi anak, kau harus setia memerhati, takut-takut ada apa-apa jadi.
Empat, tak boleh ditinggal. Kucing dah besar mungkin boleh, tapi anak kucing, kau mesti carikkan 'rumah' untuk berteduh kalau kau mahu pergi berjalan lama. Bawa sekali itu bukan tak boleh, tapi kalau kau nak naik kapal terbang? Macam mana? Untuk anak kecil pula, usia kurang 3 bulan tak boleh naik pesawat, maka haruslah kau atur sesi musafirmu atau kau harus cari 'rumah' untuk menjaga anak kecil kau selama beberapa hari.
Lima dan terakhir, sepah rumah dan bulu kucing pada baju. Anak kucing ni, hobinya berlari-lari. Maka habis terabur barang atas almari dan tong sampah yang dia kuis-kuis. Baju pula, kalau hitam akan comotlah dengan bulu-bulu kucing yang susah untuk kau tanggalkan. Sama juga anak kecil, bila waktu dia sudah aktif berlari dan meneroka dunia, akan disepah-sepahkan rumah, diconteng dinding dan dirosakkan barang-barang sama ada cermin meja hiasan atau gincu yang baru kau beli kelmarin. Comotnya baju kau bila suapkan makanan juga harus ditahan. Kalau dulu kau suka melaram, kini baju kau pakai mesti selalu ikut keselesaan berbanding cantik.
Begitulah samanya didikan menjaga anak kucing untuk kelak berhadapan dengan anak sendiri. Jadi untuk lelaki atau perempuan untuk mencari calon suami atau isteri, kau lihatlah caranya melayan anak kucingnya sekiranya ada. InsyaAllah, esok sudah punya anak, dia tak kekok untuk berkorban dan tak culas untuk bersabar. Ini bukan cerita tentang aku, ini umum.
Sekian, moga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment